Langit Gaza luka lagi
dikelar peluru tanpa mata.
Di kaki langitnya
tetes darah bertakung.
Pada senja itu
darahnya jadi beku
sehitam malam.
Apakah fajar nanti
luka langit Gaza sembuh?
Kuala Lumpur, 22 Jun
Luka Langit Gaza
puisi oleh Korakora pada 22.6.06 1 kritik
Tema Puisi Protes
Pantai Gaza
Pasir pantai Gaza
tak pernah putih
butir pasirnya darah
menyalin resah
negara terjajah.
Ombak pantai Gaza
tak pernah berbuih
derai ombaknya ghaib
disedut aib
negara tanpa izzah.
Ketam pantai Gaza
tak pernah muncul
cengkerangnya luluh
digasang peluru
mencari manusia.
Duhai, pantai Gaza
tak ada biru di langitnya
suria pun pudar
tika api runtuh di kakinya.
Kuala Lumpur, 15 Jun
puisi oleh Korakora pada 15.6.06 2 kritik
Tema Puisi Protes, Puisi Tragedi
Buku Puisi di Detikinet
Buku Puisi di Detikinet.com, Indonesia.
Puisi dari Negeri Seberang
Merapi Yang Marah
Merapi yang marah
awan debu panas
batu bara ganas
angin ngilu buas
di tanah berkah
ada celaka berkawah.
Ada gemuruh
awan jadi debu
batu jadi bara
angin jadi ngilu
panas jadi ganas
ganas jadi buas
tanah jadi kawah
kawah api Merapi.
Merapi yang marah
menanti gemuruh
tumpah ke tanah berkah
sengsara berkawah
sepanjang sejarah.
Kuala Lumpur, 16 Mei
puisi oleh Korakora pada 16.5.06 2 kritik
Tema Puisi Alam, Puisi Tragedi
Pram, Catatanmu....
Pram
ada catatan kabur
dalam jurnal sejarahmu
yang belum kau bereskan
untuk kami bacakan
sepanjang pengucapan
di majlis mengenangmu.
Pram
helai jurnal sejarahmu
masih ada tercarik-carik
apakah kau tak sempat
meletakkan salotep
bagi mencantumnya kembali?
Pram
tapi jangan bimbang
kami cuba membacanya
dengan hati-hati
yang kabur itu kami cuba terangkan
yang carik itu kami cuba cantumkan.
Pram
aman di sana, ya!
Kuala Lumpur, 30 April 2006
puisi oleh Korakora pada 11.5.06 2 kritik
Tema Puisi Belasungkawa
Sejarah Panjang
Kita mengebumi sejarah panjang
sedalam-dalam lahad pahlawan
mencucurkannya doa pujian
tapi pernahkah kita merenung
bahawa dulu kita carik-carikkan
kain sejarah yang usang?
Kuala Lumpur, April
puisi oleh Korakora pada 28.4.06 2 kritik
Tema Puisi Belasungkawa
Buat Binatang Melata dan Melayang
Sampaikan salam
buat binatang
yang melata
di tanah jajahan
cucu Yahuda
moga kalian
dilindung Tuhan
dari celaka
kala bumi itu
dicemuh saudara kami.
Sampaikan salam
buat binatang
yang melayang
di tanah jajahan
cucu Yahuda
moga kalian
dilindung tuhan
dari sengsara
kala bumi itu
diludah saudara kami.
Sampaikan kemaafan
buat binatang
yang melata dan melayang
andai kalian terkena tempias
cemuh dan ludah
saudara kami yang sengsara
pada penyembelih dan pemerkosa
di tanah jajahan cucu Yahuda.
Sampaikan pesan
buat binatang
kemaafan hanya
untuk kalian
usah disambung
pada manusia
cucu Yahuda.
Jalan Riong, 12 April
puisi oleh Korakora pada 12.4.06 1 kritik
Tema Puisi Perjuangan, Puisi Protes
Kembali Mudik Ke Hulu
Al-fatihah buat arwah
yang pernah bermudik
di sungai pantun dan syair
dengan perahu adab
menuju ke hulu
yang sangat sunyi.
Al-fatihah buat arwah
yang pernah bermudik
di sungai nazam dan gurindam
dengan perahu rindu
menuju ke hulu
yang sangat sepi.
Al-fatihah buat arwah
yang pernah bermudik
di sungai ratib dan masnawi
dengan perahu akal
menuju ke hulu
yang sangat suci.
Al-fatihah buat arwah
yang pernah menyusur
sungai budi dan daya
dengan perahu azam
menuju ke hulu
untuk bersemadi.
Al-fatihah buat arwah
yang sempat menitip
perahu puisi
moga-moga kita
kembali mudik ke hulu.
Kuala Lumpur, 5 April
Al-fatihah buat Allahyarham Md Ali Bachik (Iladam) yang kembali ke rahmatullah kira-kira 2.40 pagi, 5 April kerana menderita sakit jantung. Beliau menyimpan sebahagian usianya dalam gedung puisi klasik hingga kita dapat menatap sebahagian tulisannya mengenai warisan bangsa.
puisi oleh Korakora pada 6.4.06 1 kritik
Tema Puisi Belasungkawa
Apologi Buat Blogger Kota Singa
Apologi Buat Blogger Kota Singa
(Pesan Penguasa Zoo)
Blogger kota singa
potong kuku kalian
sebelum mencakar
di kandang maya.
Blogger kota singa
cabut taring kalian
sebelum mengaum
di kandang maya.
Blogger kota singa
usah kau telingkahkan
soal kebebasan
di belantara asal
kerana di kandang ini
persis hutan simpan
berpohonkan jeriji besi.
Dalam kandang maya
kami lemparkan
seketul daging import
untuk kalian jilat
seada-adanya.
Blogger kota singa
jangan kalian lupa
tanggalkan batu itu
kerana di sini
jadualnya sudah kami susun!
Kuala Lumpur, suatu tarikh sebelum pilihan raya Singapura
puisi oleh Korakora pada 5.4.06 1 kritik
Tema Puisi Protes
Askar Buta
Negara pembentak itu
menghantar askar buta
tak kenal pintu masjid
menyembelih makmum
dan seorang imam
bersenjata tongkat khatib
disangka rifle automatik.
Negara pembentak itu
menghantar askar pekak
tak kenal tetuang masjid
menyembelih makmum
dan seorang imam
melaungkan takbir ibadat
disangka jerkah pemberontak.
Negara pembentak itu
menghantar askar tolol
tak kenal nilai manusia
menyembelih makmum
dan seorang imam
menundukkan diri abdi
disangka strategi perang.
Moga mereka terus buta
sampai ke pagar Rumah Putih
moga mereka terus pekak
sampai ke pintu Rumah Putih
moga mereka terus tolol
sampai ke pejabat Rumah Putih.
Kuala Lumpur, 30 Mac
puisi oleh Korakora pada 30.3.06 3 kritik
Tema Puisi Protes, Puisi Tragedi