Catatan Polos Berurung di Pantai PD

Catatan polos di tiga hari berurung di sebuah pantai mengadap kapal dan jeti
aku datang dengan seorang perakam kotak-kotak manusia lewat kamera berbelalai
bertemu dengan rakan-rakan penulis yang seusia atau yang telah menelan peristiwa
dari yang berkira-kira mengetuk kertas atau yang sudah kepenatan menerjah pena
dan di celah-celah keramaian itu mereka berselisih bahu denganku lewat bahasa malu-malu
Salha yang rajin tersenyum ceria atau Nuralana yang lebih senang memilih diam
mereka adik-adik yang pernah merasai dakwat yang cepat terwap di negara bersuhu sahara
berbengkel dengan abang-abang yang sebenarnya tak lebih tahu daripada mereka
yang barangkali sedikit pandai menunjukkan pandai dan menyembunyikan ketidaktahuan
lalu mereka dan aku di sini adalah penulis seusia dengan penulis yang sudah menelan peristiwa
bergebang dan bersembang sedikit risau tentang legasi yang tertinggal di lembah Sungai Nil
berlabun dan bersambung tentang harapan di tengah mandala sastera di lembah Klang
sambil mengunyah dan menelan kertas-kertas yang dilontar kepada kami di bilik-bilik seminar
dan menari-nari akan pena dan minda kami; barangkali tarian penaku lebih rancak
kerana sedikit terpaksa untuk merakam secebis peristiwa daripada sekelumit resah berseminar
berbanding dua gadis manis yang lebih santai menatap sasterawan, penulis dan ahli akademik
atas harapan dan garapan yang lebih mulus untuk menghamili diri sendiri dengan peristiwa
walaupun sedikit malu untuk membuka niqab mereka pada sasterawan dan penulis seusia
biarpun sasterawan dan penulis itu barangkali lebih menelan peristiwa seputar sastera
tapi belum tentu kenyang menelan mutiara yang namanya fiqh, usul dan adab
kami menyambung gebang dan sembang sambil menghirup teh dan menelan kuih
di sebuah pantai mengadap kapal dan jeti memperkemas identiti kala sastera hari ini
yang adik dan abang disatukan dalam kelompok penulis seusia yang tak lagi sama
seperti mencari rentak tari di tengah sahara yang dibelahi sungai dengan dakwat cepat terwap
kerana kami; aku, Salha dan Nuralana kini di tanah air dengan pencak silat di medan yang sama
dan lewat tiga hari berurung di pantai yang terhimpun penulis seusia dan lanjut pengalaman
bayu laut itu akan jadi dakwat dan pantai akan jadi kertas, lalu kita pun jadi pena
melakar peristiwa semalam dan hari ini, esok pun jadi harapan dan gagasan kita
yang namanya Nazmi Yaakub, Syarifah Salha dan Nuralana yang sama-sama bergelar penulis.

Port Dickson, 4-6 Ogos 2006

Kuseru

Kuseru
kepal ragu
umatku
jadi cakar
penuh kuku.

Kuseru
langkah silu
umatku
jadi terajang
penuh padu.

Kuseru
bisik malu
umatku
jadi pekik
penuh palu.

Kuala Lumpur, 2 Ogos