Surah Pembukaan

Al-Fatihah kepada Datin Seri Endon dan takziah kepada Perdana Menteri, Pak Lah dan keluarga.

Surah pembukaan
pada bintang yang
pernah menyinar
moga-moga
kitab amalannya
dibuka dengan
cahaya kebajikan
dan catatan khilafnya
dikafarah oleh
pemadam maghfirah
biar tinta emas
jadi wangi
sampai titik akhir
di halaman penghabisan.

Kuala Lumpur, 20 Oktober 2005

Runtuhan Balakot

Dari runtuhan Balakot
kau gali derita
dengan tangan ikhtiar
menarik sengsara
yang hanya mahu
meneguk setitik rahmat
mengunyah secebis peluang.

Dari runtuhan Balakot
kau cari rahmat
yang ditindih
batu dan kayu
jasad dan tubuh.

Dari runtuhan Balakot
kau kuis tragedi.

Kuala Lumpur, 10 Oktober 2005