Dang Wangi Jadi Saksi


Dang Wangi Jadi Saksi
(Pada teman-teman yang hadir menyatu suara dengan Interlok, lisan kreatif-sejarah oleh Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussin yang dibakar secara tragis)

Teman-teman
biar Dang Wangi
jadi saksi
bersetiakan Tuah
berjiwakan Jebat.

Akan kita
amukkan kota
dengan keris hujah
dan hulubalang kata.

Kerana kejahilan
sudah beraja di mata
bersultan di hati.

Teman-teman
Tuah tak lagi melulu
Jebat tak pernah mati.

Tak kita ulangi
episod luka
kerana sudah
kita bebatkan duka
dengan jiwa laksamana
dan akal budiman.

Teman-teman
biar Dang Wangi
jadi saksi
keris hujah
tak lagi bersarung
kalimah pertama
sudah kita ukir.

Dang Wangi, 10 Januari 2010

Kata Hadir

Mereka sedang berkata-kata
tentang kebenaran
melalui kehadiran meski
tanpa suara.

Dan mereka pun bertanya-tanya
di mana rakan-rakan kami
tidakkah berkata-kata
ketika suara itu diperlukan
adalah jihad yang besar?

Dang Wangi, 10/1/11

Mangsa

Ketika mereka
memancisi
buku itu
tak tersedar
kewarasan
ikut jadi puing.

Ketika puing itu
berterbangan
di langit kering
mereka pun
tak lebih
jadi mangsa
burung hering.

Dang Wangi, 10/1/11

Marah

Marahkan nyamuk
kelambu dibakar.

Marahkan sejarah
buku pula disalai.

Dang Wangi, 10/1/11

Api

Kelmarin
naskhah
jadi
api.

Ini
suara
ngaung
jadi bara.

Dan esok
percik
pasti
erti.

Dang Wangi, 10/1/11

Puing Sejarah

Dari puing-puing sejarah
dan potret persuratan
yang dibakar oleh sumbu kejahilan
kita jahit kembali jilid kewarasan
dan susun bingkai kesetiaan
untuk kita teguhkan kepustakaan
dan galeri keilmuan.

Dang Wangi, 10/1/11

Kalau

Kalau Pak Pandir masih hidup
tentu katanya
“Bukan aku saja kematian anak
orang sekarang kematian akal budi!”

Kalau Pak Kaduk masih hidup
tentulah dia tak malu terloncat-loncat
kalah sabung, kampung tergadai
kerana orang sekarang terkinja-kinja
kalah bahasa, sastera tergadai.

Kalau Lebai Malang masih hidup
tentulah tak terasa kepenatan
ke hilir berlapar, ke hulu tidak kenyang
kerana kita ke hilir tidak berundi, ke hulu tidak menang!

Anjung Liku, Kuala Lumpur