Negara pembentak itu
menghantar askar buta
tak kenal pintu masjid
menyembelih makmum
dan seorang imam
bersenjata tongkat khatib
disangka rifle automatik.
Negara pembentak itu
menghantar askar pekak
tak kenal tetuang masjid
menyembelih makmum
dan seorang imam
melaungkan takbir ibadat
disangka jerkah pemberontak.
Negara pembentak itu
menghantar askar tolol
tak kenal nilai manusia
menyembelih makmum
dan seorang imam
menundukkan diri abdi
disangka strategi perang.
Moga mereka terus buta
sampai ke pagar Rumah Putih
moga mereka terus pekak
sampai ke pintu Rumah Putih
moga mereka terus tolol
sampai ke pejabat Rumah Putih.
Kuala Lumpur, 30 Mac
Askar Buta
puisi oleh Korakora pada 30.3.06 3 kritik
Tema Puisi Protes, Puisi Tragedi
Khabar Dari Balad
Di Baghdad
kuterima khabar ini
sepupumu di Balad
terkorban kala dinihari
disembelih tentera laknat
yang menabur peluru ngeri
pada dadanya yang tersiat-siat.
Di Baghdad
kuterima khabar ini
sepupumu di Balad
terkorban kala dinihari
dalam pijama kotak-kotak
di rumah kini tak berpenghuni
kerana diceroboh tentera laknat
peluru pun bersimpang siur menari
sepupumu bersama sepuluh jasad
adalah sasar tembak membuta tuli
kembali ke rahmatullah sebagai syuhada.
Di Baghdad
kuterima khabar ini
sepupumu di Balad
dan sepuluh jiwa murni
kini bersemadi di satu lahad
selepas malam derita bergumpal ngeri
haiwan menggalas rifel dan menyelit bayonet
menyerbu rumah sepupumu di Abu Sifa ini
dan menyalin kulit syaitan pada malam pekat
menabur seratus peluru menggila tanpa henti
mencabut sebelas nyawa itu sepantas satu detik
menukar kembali kepada kulit binatang tanpa naluri
sebelum kembali pada jasad manusia sang pembentak
lalu mengkhabarkan cerita dongeng yang tak punya pari-pari
bahawa mereka sebenarnya menamatkan riwayat sebelas pemberontak.
Di Baghdad
kuterima khabar ini
manusiawi telah lama tamat
dan binatang sedang memerintah kami.
Jalan Riong, 29 Mac
puisi oleh Korakora pada 29.3.06 1 kritik
Tema Puisi Protes, Puisi Tragedi
Dosa Mereka Di Duluiya
Di Duluiya
dia adalah bapa
yang dosanya
adalah membesarkan
keluarganya untuk hidup
di tengah kegilaan perang
yang tak pernah diundangkan
kala dia membuka pintu rumahnya.
Di Duluiya
dia adalah ibu
yang dosanya
adalah melahirkan
anaknya untuk hidup
di tengah kegilaan perang
yang tak pernah dimimpikan
kala dia membukakan pintu rahimnya.
Di Duluiya
dia adalah anak
yang dosanya
adalah membina hasrat
di tengah kegilaan perang
yang tak pernah dipintakan
kala dia membuka pintu mimpinya.
Di Duluiya
dia adalah bapa,
ibu dan anak
yang dosa mereka
kerana menjadi manusia
di tengah kegilaan perang
yang dibakar oleh binatang
yang mencuri nama manusia
kala mereka membuka pintu hayat.
Di Duluiya
mereka adalah
manusia yang membayar
dosa mereka dengan jiwa.
Kuala Lumpur, 20 Mac
puisi oleh Korakora pada 20.3.06 5 kritik
Tema Puisi Protes, Puisi Tragedi
Bunyikan Bell Itu
Bunyikan bell itu
kala kubu kalian
diceroboh
nescaya berkeliaranlah
laskar Amerika
sampai tertinggal
dua batu di kangkang mereka.
Gantikan bell itu
dengan batu
milik laskar Amerika.
Kuala Lumpur, 17 Mac
puisi oleh Korakora pada 17.3.06 2 kritik
Tema Puisi Humor, Puisi Protes
Kelongsong Kalian
Kata mereka:
tanpa ragu
kan kami panah
kelongsong ajal
pada si imam Palestin
andai kalian
menggegar kota kami.
Kata kami:
sudah kami utuskan
anjing liar
di kamar mandi kalian
sebelum kelongsong ajal
kalian panah
kelongsong di kangkang
terlebih dulu
dikunyah anjing kami.
8 Mac, Jalan Riong
puisi oleh Korakora pada 8.3.06 0 kritik
Tema Puisi Perjuangan
Bahasa Kasih Sayang
Assalamualaikum sapamu
lewat bahasa tangis
waalaikumussalam jawab ibumu
lewat bahasa jerih
ahlan wa sahlan celahku
cuba mengerti bahasa kalian.
Puteriku selamat datang
ke dunia kami
mari kita berbual
dengan bahasa kasih sayang.
8.29 pagi, 3 Mac 2006
Bangi.
puisi oleh Korakora pada 6.3.06 0 kritik
Tema Puisi Cinta