Masih Anehkah Malam di Kuala Dipang?

Aneh sekali malam itu
tanpa hujan, kami tergenang
tanpa badai, kami terbanting
tanpa guruh, tragedi bergemuruh.

Aneh sekali detik itu
riang kami terpingkal-pingkal
lihat, itu rakan kami
meliuk-liukkan jejambat ini
nanti, kami mahu turuti
biar tawa terayun-ayun
dalam pekat malam
ilai kami bintangnya
bayu malam olang-aling
kami pun ikut teralun-alun.

Betapa aneh saat itu
riang kami berkecai tiba-tiba
Tuhan, itu rakan kami
terbanting ke kali
Tuhan, kami kenal dia
sirna dari mata kami
itu, itu tangan siapa
menggapai-gapai nafas
lihat, lihat kepala rakan kami
tenggelam timbul
dalam arus pekat malam
tolong, tolong, tolong!

Sungguh, betapa aneh kala itu
tangisan jadi badai
jeritan adalah guruh
keliru jadi jejambat
yang terolang-aling
lalu terpongkah
membanting kami
ke sungai musibah
Tuhan, bingung adalah malam
yang menggenggam kami
dengan jejari sengsara.

Aneh sekali malam itu
tolong, jernihkan kami kembali
dengan fajar jawapan
biar jejambat musibah
dicantum kembali
dengan temali hukuman.

Dungun-Kubang Kerian, Disember 2009

Tuan, Belajarlah Mengeja

Tuan, saya mahu ajar mengeja
P E bunyinya Pee
G U A M bacanya guwamm
sebut betul-betul, Pee-guwamm
mereka bukannya pejuang
P E bunyinya Pee
J U A N G bacanya juwang.

Tuan, ingat-ingatlah
S U bunyinya Suu
H A bacanya Haa
K A M pukulnya Kamm
sebut betul-betul
Suu-Haa-Kamm.

Bila tuan dipanggil
katakanlah, saya tersilap mengeja
orang yang tersilap
takkan dihukum
tapi dibetulkan
dihantar ke sekolah
belajar mengeja.

Kalau tuan sudah pandai mengeja
bolehlah tuan kembali bertugas.

Kuala Lumpur, 24 Julai

69

Mulai semalam
angka ini tidak lagi
bersalut komedi
seperti Keluarga 69.

Mulai semalam
angka ini tidak lagi
bercelup erotik
seperti posisi 69.

Mulai semalam
angka ini sudah jadi
komedi-tragedi
erotik-politik
seperti tangkapan 69.

Kuala Lumpur, 8 Mei 2009

Sajak-sajak Solat yang Tergendala

(i)

Sembahyang
tergendala
sebentar.

Akan disambung
selepas ini.

(ii)

Siapa pasang
papan tanda
dilarang solat
di masjid ini?

(iii)

Sudahkah kalian
memohon izin
dari Tuhan
untuk melarang
sujud di masjid ini?

(iv)

Ini bukan fatwa baru
tapi petua barua
ada waktu baru
yang diharamkan solat
selepas jam lima pagi
sebelum masuk waktu subuh.

(v)

Kalau solat juga di dalam masjid
apakah hukumnya, sah atau bughah?

Kalau tidak sah di dalam masjid
bagaimana pula di luar masjid?

Tuan ustaz
hamba terlanjur solat di masjid itu
apakah hamba berdosa?

(vi)

Tuhan
ampunkan dosaku
aku solat di rumah-Mu.

(vii)

Kami sudah atasi
masalah teknikal itu
kini silakan solat
hukumnya sudah boleh.

Bangi, 7 Mei 2009

Doa Pak Pandir

Doa Pak Pandir,
“Hei Tuhan,
matikan wakil rakyat kami
seorang demi seorang
nanti demokrasi diarak
di atas jalan berturap hitam
jasa dan sumbangan politik
diselang-seli antara solat jenazah
di surau lama yang baru dirasmi
janji-janji pilihan raya ditalkin
di tanah kubur yang dibersihkan
oleh majlis perbandaran
jemaahnya pulang membawa
sampul dari calon yang prihatin
dan kami pun senang seminggu dua.”

Lalu Mak Andih si tukang amin
mencuit pinggang imamnya
sambil berbisik halus,
“Tak usah doa cepat mati
doa supaya depa sambung belajar
pun jadilah!”

Anjung Liku, Kuala Lumpur
16 April

Selepas Usai

Selepas kalian melepaskan tembakan gas
selepas kalian menyemburkan air berkimia
selepas kalian mengangkat belantan kayu
nanti kalian kembali ke rumah
beleklah buku latihan Sains dan Matematik
milik anak-anak kalian
dan tanyakan diri kalian
"Apakah ia berbaloi?"

Kuala Lumpur, 7 Mac

30 Kuntum Bunga Usia

(untuk 30 tahun usia isteriku, Nurul Huda)

Tiga puluh kuntum bunga usia
semerbak di tubuh indahmu
di matamu kelopaknya kembang
di bibirmu ia menjadi manis
di lehermu sering menjadi liar
di dadamu ia kembang mekar
di pusarmu tunduknya malu
di pahamu ia menggebu
di betismu menjalar ghairah
di kakimu kukuh sebagai akar.

Tiga puluh kuntum bunga usia
di seluruh tubuhmu
ia tumbuh menjadi kamu, Sayang.

Bangi, 27 Januari 2009