Sarjana tanpa Persaraan

Luis Leal
sarjana
tanpa
persaraan.

Yang ada
tarikh tamat
dan kutub
khanah.

Tak tersedar
kau terjemah
hikam kami
'Buaikan ilmu
dari mahdi,
kebumikannya
dalam lahdi.'

Kuala Lumpur, 28 Januari

Johnny Tak Lagi Bikin Filem

Selamat tinggal Johnny
pada gulungan filem
Johnny tak lagi bikin filem
pada pentas teater
Rokiah tak lagi ronggeng
pada kamar kuliah
Akademi tanpa suaramu.

Jalan Riong-1Bangi
20 Januari 2010

Al-Fatihah buat Allahyarham Dr Anuar Nor Arai, yang filem pertama dan terakhirnya, Johnny Bikin Filem (1995) tak pernah dapat ditayangkan sehingga kini.

Puisi yang Menang di Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) Ke-18 2006/2007

KATEGORI BUKU (RM10,000)

Kumpulan Puisi: Kristal di Laut Bulan, Siti Zaleha Hashim

KATEGORI ECERAN (RM1,000)

1. Diamnya Malam, Nahmar Jamil
2. Sumpah Setia Tanjung Piai, Nisah Haji Haron
3. Catatan Panjang tentang Suami Skizo, Isteri Skizofrenia, Wanita Skizofrenik, Zaiton Ajamain
4. Hujung dan Pangkal, Abizai
5. Malam Rosiah, A Samad Said
6. Mereka yang Mendaki Maqam Percintaan, As-Shuhaimi (Suhaimi Haji Muhammad)
7. Pohon Bahasa Perkasa, Raja Rajeswary Seetha Raman
8. Terlalu, Shapiai Mohd Ramly
9. Sang Pelakon, Nimoiz TY
10. Wanita dan Laut, Mahaya Mohd Yassin

Hari-hari Yang Mati di Haiti


Hari-hari yang Mati di Haiti

Detik gigil bumi Haiti
potret duka negara terbanting
di dinding kuasa bertirai satin
menabir rekah luka dan tragedi
seperti istana presidensi
yang sebelumnya dipalu
tongkat voodoo Papa Doc
muncung mesingan Baby Doc
peluru regim kudeta
dan telah sempurna keruntuhan
pada hari yang mati di Haiti.

Antara minit-minit gigil menggila
batu, kayu dan besi berguguran
dari siling kuasa, dinding elit
genting regim, tiang kapitalis
pada lantai menampung kalian
menghempap baju, kasur dan roti
seperti bongkah-bongkah kepapaan,
penindasan, keganasan dan penjajahan
selama ini menindih-nindih kalian
tercoret pada potret duka negaramu
yang sempurna lukisannya
pada hari yang mati di Haiti.

Pada hari ini, Haiti
kemerdekaan sudah lama mati
dibunuh serakah kuasa,
diskriminasi etnik, amukan gengster
dan campur tangan asing.

Gegar bumimu pada hari ini, Haiti
menyempurnakan hari matimu.

Kuala Lumpur, 13 Januari 2010

Menyeru Hang Nadim

Sejarah mengutuskanmu
di tengah-tengah putus asa
bapa dan datuk kita
berbenteng betis dan dada
menahan muncung todak
dari samudera autokrasi
atau badai anarki.

Tanpa latar, tanpa datar
di tengah-tengah hiruk-pikuk
bapa dan datuk kita
kau bertahan dengan
benteng kebijaksanaan
menunjuk teladan
kewarasan
yang bisa menahan
autokrasi atau anarki.

Hang Nadim
sejarah menghantarmu lagi
mengajar kami tentang demokrasi
apa itu yang namanya
pohon pisang
atau pilihan raya.

Sungguh, bukan kami
yang mengajarkanmu demokrasi
tapi kalian
menunjukkan kami
bagaimana memilih pemimpin.

Kuala Lumpur, Januari 2010

Pak Kadok Hilang Telor

Pak Kadok
hilang telor
jet kecilnya
tak bisa terbang
di malam hari.

Aib tak terkata
telor Pak Kadok
dicuri maling prebet
bukan penyamun
setaraf jeneral.

Cela tak terampun
diseludup keluar
pomen cabuk
bukan taukey bengkel
pengedar automobil.

Esok Pak Kadok
berlaga ayam
dengan presiden
negara jiran
berkot kertas
bercelana kadbod
kalau terkinja
busana rabak
alangkah buruk
Pak Kadok
menari sumbang
tanpa telor.

Pak Kadok
tanpa telor
menang sorak
jet tergadai.

Bukan Uruguay
Januari 2010

Masih Anehkah Malam di Kuala Dipang?

Aneh sekali malam itu
tanpa hujan, kami tergenang
tanpa badai, kami terbanting
tanpa guruh, tragedi bergemuruh.

Aneh sekali detik itu
riang kami terpingkal-pingkal
lihat, itu rakan kami
meliuk-liukkan jejambat ini
nanti, kami mahu turuti
biar tawa terayun-ayun
dalam pekat malam
ilai kami bintangnya
bayu malam olang-aling
kami pun ikut teralun-alun.

Betapa aneh saat itu
riang kami berkecai tiba-tiba
Tuhan, itu rakan kami
terbanting ke kali
Tuhan, kami kenal dia
sirna dari mata kami
itu, itu tangan siapa
menggapai-gapai nafas
lihat, lihat kepala rakan kami
tenggelam timbul
dalam arus pekat malam
tolong, tolong, tolong!

Sungguh, betapa aneh kala itu
tangisan jadi badai
jeritan adalah guruh
keliru jadi jejambat
yang terolang-aling
lalu terpongkah
membanting kami
ke sungai musibah
Tuhan, bingung adalah malam
yang menggenggam kami
dengan jejari sengsara.

Aneh sekali malam itu
tolong, jernihkan kami kembali
dengan fajar jawapan
biar jejambat musibah
dicantum kembali
dengan temali hukuman.

Dungun-Kubang Kerian, Disember 2009

Tuan, Belajarlah Mengeja

Tuan, saya mahu ajar mengeja
P E bunyinya Pee
G U A M bacanya guwamm
sebut betul-betul, Pee-guwamm
mereka bukannya pejuang
P E bunyinya Pee
J U A N G bacanya juwang.

Tuan, ingat-ingatlah
S U bunyinya Suu
H A bacanya Haa
K A M pukulnya Kamm
sebut betul-betul
Suu-Haa-Kamm.

Bila tuan dipanggil
katakanlah, saya tersilap mengeja
orang yang tersilap
takkan dihukum
tapi dibetulkan
dihantar ke sekolah
belajar mengeja.

Kalau tuan sudah pandai mengeja
bolehlah tuan kembali bertugas.

Kuala Lumpur, 24 Julai

69

Mulai semalam
angka ini tidak lagi
bersalut komedi
seperti Keluarga 69.

Mulai semalam
angka ini tidak lagi
bercelup erotik
seperti posisi 69.

Mulai semalam
angka ini sudah jadi
komedi-tragedi
erotik-politik
seperti tangkapan 69.

Kuala Lumpur, 8 Mei 2009

Sajak-sajak Solat yang Tergendala

(i)

Sembahyang
tergendala
sebentar.

Akan disambung
selepas ini.

(ii)

Siapa pasang
papan tanda
dilarang solat
di masjid ini?

(iii)

Sudahkah kalian
memohon izin
dari Tuhan
untuk melarang
sujud di masjid ini?

(iv)

Ini bukan fatwa baru
tapi petua barua
ada waktu baru
yang diharamkan solat
selepas jam lima pagi
sebelum masuk waktu subuh.

(v)

Kalau solat juga di dalam masjid
apakah hukumnya, sah atau bughah?

Kalau tidak sah di dalam masjid
bagaimana pula di luar masjid?

Tuan ustaz
hamba terlanjur solat di masjid itu
apakah hamba berdosa?

(vi)

Tuhan
ampunkan dosaku
aku solat di rumah-Mu.

(vii)

Kami sudah atasi
masalah teknikal itu
kini silakan solat
hukumnya sudah boleh.

Bangi, 7 Mei 2009