Kalau darah itu hitam
maka gelitakan langit mereka.
Kalau darah itu kelabu
maka kaburkan kubur mereka.
Tapi darah itu merah
maka Tuhan
hanyutkan tentera laknat itu
dalam sungai amarah.
27 Julai, Kuala Lumpur
Sumpah I
puisi oleh Korakora pada 27.7.06 1 kritik
Tema Puisi Perjuangan
Doa
Tuhan, kalau air mata
bisa jadi hujan
runtuhkan gelita awan
hingga bumi dusta
tenggelam tak terselam.
Tuhan, kalau darah
bisa jadi selut
semburkan bara tanah
hingga langit pun
kontang tak berangin.
Tuhan, kalau doa kami
bisa jadi panah
hunjamkan tiap kalimah
hingga tak ada tubuh
tak dimamah.
24 Julai, Kuala Lumpur
Merekalah Helang
Mereka helang, melayang
di langit pekik jadi bingit
menjunam ke lembah
menyewah tanah lewah
oleh ayam enak mengeram.
Di langit kita jadi perit
tanah jadi sungai darah
kita adalah ayam gelimpangan
selepas enak bercakaran
mematuk dengan paruh geruh.
Melayang di langit
di bumi kita perit
kerana mereka helang
sedang kita ayam gelimpangan.
20 Julai, Kuala Lumpur
puisi oleh Korakora pada 20.7.06 2 kritik
Tema Puisi Protes
Ruh di Sempadan Gelisah
Kalian kirim gergasi besi
ke pinggir bumi kami
maka rentangkan pateri duri
di sempadan tanah gelisah
ketahuilah tubuh kami yang suci
akan melepaskan ruh yang kudus
hinggakan gerombolan kalian
cerai-berai hancur-berkecai.
3 Jun, Kuala Lumpur
puisi oleh Korakora pada 3.7.06 5 kritik
Tema Puisi Perjuangan
Luka Langit Gaza
Langit Gaza luka lagi
dikelar peluru tanpa mata.
Di kaki langitnya
tetes darah bertakung.
Pada senja itu
darahnya jadi beku
sehitam malam.
Apakah fajar nanti
luka langit Gaza sembuh?
Kuala Lumpur, 22 Jun
puisi oleh Korakora pada 22.6.06 1 kritik
Tema Puisi Protes
Pantai Gaza
Pasir pantai Gaza
tak pernah putih
butir pasirnya darah
menyalin resah
negara terjajah.
Ombak pantai Gaza
tak pernah berbuih
derai ombaknya ghaib
disedut aib
negara tanpa izzah.
Ketam pantai Gaza
tak pernah muncul
cengkerangnya luluh
digasang peluru
mencari manusia.
Duhai, pantai Gaza
tak ada biru di langitnya
suria pun pudar
tika api runtuh di kakinya.
Kuala Lumpur, 15 Jun
puisi oleh Korakora pada 15.6.06 2 kritik
Tema Puisi Protes, Puisi Tragedi
Buku Puisi di Detikinet
Buku Puisi di Detikinet.com, Indonesia.
Puisi dari Negeri Seberang
Merapi Yang Marah
Merapi yang marah
awan debu panas
batu bara ganas
angin ngilu buas
di tanah berkah
ada celaka berkawah.
Ada gemuruh
awan jadi debu
batu jadi bara
angin jadi ngilu
panas jadi ganas
ganas jadi buas
tanah jadi kawah
kawah api Merapi.
Merapi yang marah
menanti gemuruh
tumpah ke tanah berkah
sengsara berkawah
sepanjang sejarah.
Kuala Lumpur, 16 Mei
puisi oleh Korakora pada 16.5.06 2 kritik
Tema Puisi Alam, Puisi Tragedi
Pram, Catatanmu....
Pram
ada catatan kabur
dalam jurnal sejarahmu
yang belum kau bereskan
untuk kami bacakan
sepanjang pengucapan
di majlis mengenangmu.
Pram
helai jurnal sejarahmu
masih ada tercarik-carik
apakah kau tak sempat
meletakkan salotep
bagi mencantumnya kembali?
Pram
tapi jangan bimbang
kami cuba membacanya
dengan hati-hati
yang kabur itu kami cuba terangkan
yang carik itu kami cuba cantumkan.
Pram
aman di sana, ya!
Kuala Lumpur, 30 April 2006
puisi oleh Korakora pada 11.5.06 2 kritik
Tema Puisi Belasungkawa
Sejarah Panjang
Kita mengebumi sejarah panjang
sedalam-dalam lahad pahlawan
mencucurkannya doa pujian
tapi pernahkah kita merenung
bahawa dulu kita carik-carikkan
kain sejarah yang usang?
Kuala Lumpur, April
puisi oleh Korakora pada 28.4.06 2 kritik
Tema Puisi Belasungkawa