Khabar Dari Balad

Di Baghdad
kuterima khabar ini
sepupumu di Balad
terkorban kala dinihari
disembelih tentera laknat
yang menabur peluru ngeri
pada dadanya yang tersiat-siat.

Di Baghdad
kuterima khabar ini
sepupumu di Balad
terkorban kala dinihari
dalam pijama kotak-kotak
di rumah kini tak berpenghuni
kerana diceroboh tentera laknat
peluru pun bersimpang siur menari
sepupumu bersama sepuluh jasad
adalah sasar tembak membuta tuli
kembali ke rahmatullah sebagai syuhada.

Di Baghdad
kuterima khabar ini
sepupumu di Balad
dan sepuluh jiwa murni
kini bersemadi di satu lahad
selepas malam derita bergumpal ngeri
haiwan menggalas rifel dan menyelit bayonet
menyerbu rumah sepupumu di Abu Sifa ini
dan menyalin kulit syaitan pada malam pekat
menabur seratus peluru menggila tanpa henti
mencabut sebelas nyawa itu sepantas satu detik
menukar kembali kepada kulit binatang tanpa naluri
sebelum kembali pada jasad manusia sang pembentak
lalu mengkhabarkan cerita dongeng yang tak punya pari-pari
bahawa mereka sebenarnya menamatkan riwayat sebelas pemberontak.

Di Baghdad
kuterima khabar ini
manusiawi telah lama tamat
dan binatang sedang memerintah kami.

Jalan Riong, 29 Mac

3 kritik:

eddylangley19702886 berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Tanpa Nama berkata...

What a great site » » »

Tanpa Nama berkata...

Cool blog, interesting information... Keep it UP » » »