Dang Wangi Jadi Saksi
(Pada teman-teman yang hadir menyatu suara dengan Interlok, lisan kreatif-sejarah oleh Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussin yang dibakar secara tragis)
Teman-teman
biar Dang Wangi
jadi saksi
bersetiakan Tuah
berjiwakan Jebat.
Akan kita
amukkan kota
dengan keris hujah
dan hulubalang kata.
Kerana kejahilan
sudah beraja di mata
bersultan di hati.
Teman-teman
Tuah tak lagi melulu
Jebat tak pernah mati.
Tak kita ulangi
episod luka
kerana sudah
kita bebatkan duka
dengan jiwa laksamana
dan akal budiman.
Teman-teman
biar Dang Wangi
jadi saksi
keris hujah
tak lagi bersarung
kalimah pertama
sudah kita ukir.
Dang Wangi, 10 Januari 2010
Dang Wangi Jadi Saksi
puisi oleh Korakora pada 11.1.11 3 kritik
Tema Puisi Perjuangan
Kata Hadir
Mereka sedang berkata-kata
tentang kebenaran
melalui kehadiran meski
tanpa suara.
Dan mereka pun bertanya-tanya
di mana rakan-rakan kami
tidakkah berkata-kata
ketika suara itu diperlukan
adalah jihad yang besar?
Dang Wangi, 10/1/11
puisi oleh Korakora pada 11.1.11 0 kritik
Tema Puisi Perjuangan
Mangsa
Ketika mereka
memancisi
buku itu
tak tersedar
kewarasan
ikut jadi puing.
Ketika puing itu
berterbangan
di langit kering
mereka pun
tak lebih
jadi mangsa
burung hering.
Dang Wangi, 10/1/11
puisi oleh Korakora pada 11.1.11 0 kritik
Tema Puisi Sinis
Marah
Marahkan nyamuk
kelambu dibakar.
Marahkan sejarah
buku pula disalai.
Dang Wangi, 10/1/11
puisi oleh Korakora pada 11.1.11 0 kritik
Tema Puisi Sinis
Api
Kelmarin
naskhah
jadi
api.
Ini
suara
ngaung
jadi bara.
Dan esok
percik
pasti
erti.
Dang Wangi, 10/1/11
puisi oleh Korakora pada 11.1.11 0 kritik
Tema Puisi Perjuangan
Puing Sejarah
Dari puing-puing sejarah
dan potret persuratan
yang dibakar oleh sumbu kejahilan
kita jahit kembali jilid kewarasan
dan susun bingkai kesetiaan
untuk kita teguhkan kepustakaan
dan galeri keilmuan.
Dang Wangi, 10/1/11
puisi oleh Korakora pada 11.1.11 0 kritik
Tema Puisi Perjuangan
Kalau
Kalau Pak Pandir masih hidup
tentu katanya
“Bukan aku saja kematian anak
orang sekarang kematian akal budi!”
Kalau Pak Kaduk masih hidup
tentulah dia tak malu terloncat-loncat
kalah sabung, kampung tergadai
kerana orang sekarang terkinja-kinja
kalah bahasa, sastera tergadai.
Kalau Lebai Malang masih hidup
tentulah tak terasa kepenatan
ke hilir berlapar, ke hulu tidak kenyang
kerana kita ke hilir tidak berundi, ke hulu tidak menang!
Anjung Liku, Kuala Lumpur
puisi oleh Korakora pada 6.1.11 2 kritik
Tema Puisi Sinis
Hujan Kata-kata
Semalam
hujan kata-kata
kutadahkan
cangkir sajak
dingin maknanya
kusiram
api persoalanmu.
Muar-Pagoh-Kuala Lumpur
puisi oleh Korakora pada 8.11.10 2 kritik
Tema Puisi Alam, Puisi Kemanusiaan
Berkali-kali Ia Mati
Palestina
telah berkali-kali mati.
Dari kematian itu
mereka berkali-kali
bangkit.
Usah biarkan
Palestina
mati dari hati kita
walau sekali.
Bangi, 29 Oktober 2010
puisi oleh Korakora pada 29.10.10 0 kritik
Tema Puisi Perjuangan
Kita Hamparkan Iktibar
Mari kita hamparkan iktibar
di atas sepotong negara
bernama Palestina
yang terbelah menjadi dua
Gaza dan Tebing Barat.
Palestina adalah kita
yang masih mencari-cari
sepotong kata keramat
yang tersembunyi
antara debu dan tanah
di balik batu dan pohon
yang sengaja kita biarkan
berserak-serakan
berpencar-pencaran.
Palestina adalah kita
yang masih berjerih perih
mencantum kata azimat
yang terpisah, terasing
persis sejalur Gaza
dan secarik Tebing Barat
di atas sepotong negara
bernama Palestina.
Palestina adalah kita
yang sering terlupa
betapa kita adalah
satu darah dari luka
yang sama
satu syahadah dari kata
yang sama
satu mimpi dari kamar
yang sama.
Mari kita hamparkan iktibar
di atas sepotong negara
bernama Palestina
meski terbelah menjadi dua
Gaza dan Tebing Barat
kita cantumkan dua luka
dengan darah putih yang sama
kita gandingkan dua kata
dengan syahadah tauhid yang sama
untuk kita penuhi mimpi agung
yang sama-sama kita jalin di kamar ini.
Pada sepotong negara
kita hamparkan iktibar
kerana Palestina adalah kita
masa lalu, kini dan akan datang.
Bangi, Julai 2010
*Puisi ini dideklamasikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Malam Puisi Riong anjuran Berita Harian dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bertemakan ‘Gaza: Deritamu Palestin Derita Kami’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, 2 Ogos 2010