Menjelang Malam Pengucapan Puisi 152

Menjelang Malam Pengucapan Puisi 152 I

Kita pecahkan langit Valentine
dengan Pengucapan Puisi 152
kita hidangkan makan besar
dengan diksi dan kata agung
kita isi rehat panjang
dengan azam membela bahasa.

Jalan Riong, Kuala Lumpur

Ke laman facebook: Pengucapan Puisi 152 @Rumah Pena, 14 Februari (9 malam)

Jejaka Puitis-Estetis


Jejaka puitis-estetis (jangan sila eja perkataan kedua itu!) di Malam Puisi Pena di Rumah Pena, Kuala Lumpur. Dari kiri:-

Amran Daud di poket karyanya, kumpulan puisi 1Malaysia yang sering dikucup-kucupnya
Usman Ibrahim tak lagi membilang not ringgit, kini mengira diksi dari Kuantan ke Kuala Lumpur
Zaen Kasturi, puisinya perlu ditelaah dengan bahasa dua zaman, suaranya garau padat terhantar ke zaman silam
Shamsudin Othman, penyair dengan diksi Islam, kini menyelongkar makna insaniah
Nazmi Yaakub, mahu belajar puisi dan menjadi penyair daripada mereka di sekelilingnya
Basir, sesekali bertemu di dewan, memberi persepsi lain kepada dunia sastera
Ridzuan Harun, penyair sufi yang entah bagaimana tercampak di Aswara
SM Zakir, cerpenis mapan tetapi katanya mahu belajar tulis puisi, jadikannya penyair muda!

Di Kaki Mimbar

Di kaki mimbar
kita menadah hikmah
di dahi sejadah
kita sujud menyembah
biar raup Jumaat
penuh maghfirah
biar dahi bersih
dicalit kasturi jannah.

Masjid al-Hukama’, 5 Februari

Sarjana tanpa Persaraan

Luis Leal
sarjana
tanpa
persaraan.

Yang ada
tarikh tamat
dan kutub
khanah.

Tak tersedar
kau terjemah
hikam kami
'Buaikan ilmu
dari mahdi,
kebumikannya
dalam lahdi.'

Kuala Lumpur, 28 Januari

Johnny Tak Lagi Bikin Filem

Selamat tinggal Johnny
pada gulungan filem
Johnny tak lagi bikin filem
pada pentas teater
Rokiah tak lagi ronggeng
pada kamar kuliah
Akademi tanpa suaramu.

Jalan Riong-1Bangi
20 Januari 2010

Al-Fatihah buat Allahyarham Dr Anuar Nor Arai, yang filem pertama dan terakhirnya, Johnny Bikin Filem (1995) tak pernah dapat ditayangkan sehingga kini.

Puisi yang Menang di Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) Ke-18 2006/2007

KATEGORI BUKU (RM10,000)

Kumpulan Puisi: Kristal di Laut Bulan, Siti Zaleha Hashim

KATEGORI ECERAN (RM1,000)

1. Diamnya Malam, Nahmar Jamil
2. Sumpah Setia Tanjung Piai, Nisah Haji Haron
3. Catatan Panjang tentang Suami Skizo, Isteri Skizofrenia, Wanita Skizofrenik, Zaiton Ajamain
4. Hujung dan Pangkal, Abizai
5. Malam Rosiah, A Samad Said
6. Mereka yang Mendaki Maqam Percintaan, As-Shuhaimi (Suhaimi Haji Muhammad)
7. Pohon Bahasa Perkasa, Raja Rajeswary Seetha Raman
8. Terlalu, Shapiai Mohd Ramly
9. Sang Pelakon, Nimoiz TY
10. Wanita dan Laut, Mahaya Mohd Yassin

Hari-hari Yang Mati di Haiti


Hari-hari yang Mati di Haiti

Detik gigil bumi Haiti
potret duka negara terbanting
di dinding kuasa bertirai satin
menabir rekah luka dan tragedi
seperti istana presidensi
yang sebelumnya dipalu
tongkat voodoo Papa Doc
muncung mesingan Baby Doc
peluru regim kudeta
dan telah sempurna keruntuhan
pada hari yang mati di Haiti.

Antara minit-minit gigil menggila
batu, kayu dan besi berguguran
dari siling kuasa, dinding elit
genting regim, tiang kapitalis
pada lantai menampung kalian
menghempap baju, kasur dan roti
seperti bongkah-bongkah kepapaan,
penindasan, keganasan dan penjajahan
selama ini menindih-nindih kalian
tercoret pada potret duka negaramu
yang sempurna lukisannya
pada hari yang mati di Haiti.

Pada hari ini, Haiti
kemerdekaan sudah lama mati
dibunuh serakah kuasa,
diskriminasi etnik, amukan gengster
dan campur tangan asing.

Gegar bumimu pada hari ini, Haiti
menyempurnakan hari matimu.

Kuala Lumpur, 13 Januari 2010

Menyeru Hang Nadim

Sejarah mengutuskanmu
di tengah-tengah putus asa
bapa dan datuk kita
berbenteng betis dan dada
menahan muncung todak
dari samudera autokrasi
atau badai anarki.

Tanpa latar, tanpa datar
di tengah-tengah hiruk-pikuk
bapa dan datuk kita
kau bertahan dengan
benteng kebijaksanaan
menunjuk teladan
kewarasan
yang bisa menahan
autokrasi atau anarki.

Hang Nadim
sejarah menghantarmu lagi
mengajar kami tentang demokrasi
apa itu yang namanya
pohon pisang
atau pilihan raya.

Sungguh, bukan kami
yang mengajarkanmu demokrasi
tapi kalian
menunjukkan kami
bagaimana memilih pemimpin.

Kuala Lumpur, Januari 2010

Pak Kadok Hilang Telor

Pak Kadok
hilang telor
jet kecilnya
tak bisa terbang
di malam hari.

Aib tak terkata
telor Pak Kadok
dicuri maling prebet
bukan penyamun
setaraf jeneral.

Cela tak terampun
diseludup keluar
pomen cabuk
bukan taukey bengkel
pengedar automobil.

Esok Pak Kadok
berlaga ayam
dengan presiden
negara jiran
berkot kertas
bercelana kadbod
kalau terkinja
busana rabak
alangkah buruk
Pak Kadok
menari sumbang
tanpa telor.

Pak Kadok
tanpa telor
menang sorak
jet tergadai.

Bukan Uruguay
Januari 2010