Doa Pak Pandir

Doa Pak Pandir,
“Hei Tuhan,
matikan wakil rakyat kami
seorang demi seorang
nanti demokrasi diarak
di atas jalan berturap hitam
jasa dan sumbangan politik
diselang-seli antara solat jenazah
di surau lama yang baru dirasmi
janji-janji pilihan raya ditalkin
di tanah kubur yang dibersihkan
oleh majlis perbandaran
jemaahnya pulang membawa
sampul dari calon yang prihatin
dan kami pun senang seminggu dua.”

Lalu Mak Andih si tukang amin
mencuit pinggang imamnya
sambil berbisik halus,
“Tak usah doa cepat mati
doa supaya depa sambung belajar
pun jadilah!”

Anjung Liku, Kuala Lumpur
16 April

4 kritik:

Tanpa Nama berkata...

mohon kebenaran untuk memuatkan puisi encik ke dalam facebook saya.

can

Nazmi Yaakub berkata...

dengan mengekalkan nama saya, permohonan diberikan.

dan apakah alamat blog sdr?

Tanpa Nama berkata...

barang tentu. nanti, saya cari cara untuk meng-link muatannya di facebook ke blog saudara.

can

faziz ar berkata...

sdr nazmi...salam
agak lucu membaca puisi ini..
namun realitinya ada ditengah masyarakat kita.. tanpa sedar