Percayalah
Saddam bukan percikan api
kala bara sengketa berlaga
dalam bakaran relung fitnah
yang bernama Syiah dan Sunnah.
Yakinlah
Saddam adalah percikan api
kala bara angkara berlaga
dalam bakaran relung makar
yang dibina Amerika Syarikat.
Kerana Saddam itu bukan api
yang semulajadi membakar
tapi setelah mancis strategi
dinyala dalam sekam lima segi.
Kuala Lumpur, 27 Februari
Api Bernama Saddam
puisi oleh Korakora pada 27.2.06 3 kritik
Tema Puisi Protes
Dari Abu Gharib ke Guatanamo
Dari penjara Abu Gharib
ke kem Guatanamo
demokrasi dihela
dan disuruh bertungging
maka tua bangka
bernama Pak Cik Sam
asyik meliwatnya.
Dari kem Guatanamo
kembali ke penjara Abu Gharib
demokrasi digari
disebat berkali-kali
dan disuruh berdiri
lehernya diikat tali
digantung sampai mati.
Di Abu Gharib
demokrasi jadi mangsa liwat
di Guatanamo
demokrasi terus dikerasi.
22 Februari, Stadium Merdeka
puisi oleh Korakora pada 22.2.06 5 kritik
Tema Puisi Protes
Bila Bumi Marah
Dan bila bumi marah
tak dipilih antara
Guinsaugon,
Barangay Cabagawan
dan Sug-angon
tapi murkanya tertimpa
ke Pulau Layte
yang mengendong
tiga kampung
dan tiga ribu jiwa.
Dan bila bumi marah
tak dipilih antara
pembalak haram,
penguasa curang
dan anak yang girang
tapi murkanya tertimpa
ke Pulau Layte
yang mengendong
sekolah dan rumah.
Dan bila bumi marah
tak bisa kau damaikan
dengan janji kosong.
Jalan Riong, 21 Februari
puisi oleh Korakora pada 21.2.06 2 kritik
Tema Puisi Alam, Puisi Tragedi
Selepas Rebah Kota Baghdad
Selepas rebah kota Baghdad
apakah puing kehancuran
akan kau taufankan
ke kota Tehran?
Kalau iya, kirimkan lekas
biar sempurna kejahatanmu
tak nanti ada yang simpati
bila satu demi satu
kota kemegahanmu
tak lagi ada puingnya
yang ada cebisan kertas usang
menjadi tanda
“Di sini pernah bangunnya
kota-kota ketakburan!”
Januari 2006
puisi oleh Korakora pada 15.2.06 2 kritik
Tema Puisi Protes
Rakaman 17 Tahun
Dia lelaki cekal
menyalin pengalaman
di catatan sejarah
dari buku penjara
ke memoir pejuang
meski tanpa
buku rakaman 17 tahun
dari Oturem ke Queenstown
dari Changi ke Pulau Ubin
mereka tak mungkin
merampas rakaman
di nurani dan minda.
Dia lelaki teguh
tak berhenti
mencatat
hingga kita
mengerti
rakaman
kezaliman
mereka.
USJ, 21 November 2005
puisi oleh Korakora pada 22.11.05 3 kritik
Tema Puisi Tokoh
Surah Pembukaan
Al-Fatihah kepada Datin Seri Endon dan takziah kepada Perdana Menteri, Pak Lah dan keluarga.
Surah pembukaan
pada bintang yang
pernah menyinar
moga-moga
kitab amalannya
dibuka dengan
cahaya kebajikan
dan catatan khilafnya
dikafarah oleh
pemadam maghfirah
biar tinta emas
jadi wangi
sampai titik akhir
di halaman penghabisan.
Kuala Lumpur, 20 Oktober 2005
puisi oleh Korakora pada 22.10.05 3 kritik
Tema Puisi Belasungkawa
Runtuhan Balakot
Dari runtuhan Balakot
kau gali derita
dengan tangan ikhtiar
menarik sengsara
yang hanya mahu
meneguk setitik rahmat
mengunyah secebis peluang.
Dari runtuhan Balakot
kau cari rahmat
yang ditindih
batu dan kayu
jasad dan tubuh.
Dari runtuhan Balakot
kau kuis tragedi.
Kuala Lumpur, 10 Oktober 2005
puisi oleh Korakora pada 10.10.05 1 kritik
Tema Puisi Alam, Puisi Tragedi