Kata Hadir

Mereka sedang berkata-kata
tentang kebenaran
melalui kehadiran meski
tanpa suara.

Dan mereka pun bertanya-tanya
di mana rakan-rakan kami
tidakkah berkata-kata
ketika suara itu diperlukan
adalah jihad yang besar?

Dang Wangi, 10/1/11

Mangsa

Ketika mereka
memancisi
buku itu
tak tersedar
kewarasan
ikut jadi puing.

Ketika puing itu
berterbangan
di langit kering
mereka pun
tak lebih
jadi mangsa
burung hering.

Dang Wangi, 10/1/11

Marah

Marahkan nyamuk
kelambu dibakar.

Marahkan sejarah
buku pula disalai.

Dang Wangi, 10/1/11

Api

Kelmarin
naskhah
jadi
api.

Ini
suara
ngaung
jadi bara.

Dan esok
percik
pasti
erti.

Dang Wangi, 10/1/11

Puing Sejarah

Dari puing-puing sejarah
dan potret persuratan
yang dibakar oleh sumbu kejahilan
kita jahit kembali jilid kewarasan
dan susun bingkai kesetiaan
untuk kita teguhkan kepustakaan
dan galeri keilmuan.

Dang Wangi, 10/1/11

Kalau

Kalau Pak Pandir masih hidup
tentu katanya
“Bukan aku saja kematian anak
orang sekarang kematian akal budi!”

Kalau Pak Kaduk masih hidup
tentulah dia tak malu terloncat-loncat
kalah sabung, kampung tergadai
kerana orang sekarang terkinja-kinja
kalah bahasa, sastera tergadai.

Kalau Lebai Malang masih hidup
tentulah tak terasa kepenatan
ke hilir berlapar, ke hulu tidak kenyang
kerana kita ke hilir tidak berundi, ke hulu tidak menang!

Anjung Liku, Kuala Lumpur

Hujan Kata-kata

Semalam
hujan kata-kata
kutadahkan
cangkir sajak
dingin maknanya
kusiram
api persoalanmu.

Muar-Pagoh-Kuala Lumpur

Berkali-kali Ia Mati

Palestina
telah berkali-kali mati.

Dari kematian itu
mereka berkali-kali
bangkit.

Usah biarkan
Palestina
mati dari hati kita
walau sekali.

Bangi, 29 Oktober 2010

Kita Hamparkan Iktibar

Mari kita hamparkan iktibar
di atas sepotong negara
bernama Palestina
yang terbelah menjadi dua
Gaza dan Tebing Barat.

Palestina adalah kita
yang masih mencari-cari
sepotong kata keramat
yang tersembunyi
antara debu dan tanah
di balik batu dan pohon
yang sengaja kita biarkan
berserak-serakan
berpencar-pencaran.

Palestina adalah kita
yang masih berjerih perih
mencantum kata azimat
yang terpisah, terasing
persis sejalur Gaza
dan secarik Tebing Barat
di atas sepotong negara
bernama Palestina.

Palestina adalah kita
yang sering terlupa
betapa kita adalah
satu darah dari luka
yang sama
satu syahadah dari kata
yang sama
satu mimpi dari kamar
yang sama.

Mari kita hamparkan iktibar
di atas sepotong negara
bernama Palestina
meski terbelah menjadi dua
Gaza dan Tebing Barat
kita cantumkan dua luka
dengan darah putih yang sama
kita gandingkan dua kata
dengan syahadah tauhid yang sama
untuk kita penuhi mimpi agung
yang sama-sama kita jalin di kamar ini.

Pada sepotong negara
kita hamparkan iktibar
kerana Palestina adalah kita
masa lalu, kini dan akan datang.

Bangi, Julai 2010

*
Puisi ini dideklamasikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Malam Puisi Riong anjuran Berita Harian dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bertemakan ‘Gaza: Deritamu Palestin Derita Kami’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, 2 Ogos 2010

Tangis

Dia berhenti ketawa
kita mula menangis.

Bangi, 2 April