Beirut 2007

Sepucuk protes
tersangkut
kerana posmen
ikut mengamuk.

Kami kirim merpati
segulung nota di kaki
di langit Beirut
ia dibedil batu.

Nota gugur di jalanan
diinjak kasut demonstran
huruf-huruf damai
bertabur relai.

Tak dibacanya Beirut
akan suara umat.

Kuala Lumpur, 25 Januari

Beirut

Beirut lumpuh
kota dirempuh
manusia gaduh.

Sepucuk protes
tersangkut
posmen ikut
mengamuk.

Kuala Lumpur, 24 Januari

Kota Kosong Negev

Kota kosong Negev
dengan pasak takbur
dengan bumbung kufur
rongganya tipu daya
debu-debu khianat
terserak-serak
tak ada manusia
atau haiwan tanpa akal.

Kota kosong Negev
hanya pura-pura
di atas sahara fasiq
kontang tak tertumbuh iman
kering tak tertadah hidayah
titis-titis kebenaran
telah lenyap dari langitnya.

Kota kosong Negev
hanya untuk
binatang
yang tak diterima
oleh kaum haiwan.

Kota kosong Negev
hanya untuk
setan
yang merampas
kulit dan bulu binatang.

Kuala Lumpur, 24 Januari

Latar puisi: Kota kosong Negev hanya bandar simulasi untuk latihan tentera pengganas Israel di pangkalan tentera Tzeelim di padang pasir Negev, Israel. Latihan itu membabitkan simulasi serangan 600 tentera dengan menggunakan helikopter, kereta kebal dan roket di bandar olok-olok seluas 20 kilometer persegi dengan binaan 500 bangunan. Latihan itu sebagai persediaan regim Israel untuk melancarkan perang baru terhadap Lubnan, sekali gus membalas dendam atas kekalahan mereka untuk menumpaskan Hizbullah dalam perang 34 hari musim panas tahun lalu.

Suara Alam Rasa Alam

Langit kelabu Disember
membalut bumi selatan
hujan tumpah
bumi bersimbah
manusia jadi karam
gedung adalah koral
di tengah samudera bencana.

Kelabu jadi hitam
Disember ke Januari
hujan terhambur
bumi jadi cawan
yang retak seribu
yang karam kelebu.

Banglo adalah bahtera
pondok adalah perahu
yang karam di daratan
manusia jadi lemas
di bumi yang mereka pijak.

Kuala Lumpur, Disember 2006-Januari 2007

Salam Buat Blogger

Salam tanpa permit
lesen, sijil
siapa upaya
halang kata jadi kita
kita bina sebuah kota.

Salam pemilik kata
tanpa suara
blog, cepu komen
dan forum.

Kita bukan pembidik
tapi pengkritik
bukan pembaling batu
tapi pembina bunyan
bukan penceroboh
tapi sedikit pengheboh
kita penulis blog
yang tak goblog.

Salam buat blogger
penulis kata
pembicara masa.

Kampung Baru, 18 November

Luka Doa Mereka

Ada luka pada doa mereka
derita terkelar di jiwa
parut tak tersembuh lama
kerana pisau khianat
tak berhenti meradak.

Aku percaya doa terluka
pada lisan sengsara
dan jiwa terkelar-kelar
itulah yang memanah
rumah kuasa
meski yang melepas
busur adalah
soldadu penguasa.

Tuhan sering memulang
pisau khianat
selalu pula
dengan panah karma
yang tak terduga.

Tuhan suka mengejut
penguasa jahat
selalu pula
dengan teman akrab
yang diam
menanti masa.

Luka doa mereka
masih belum sembuh
usah kalian duga
ngilu sudah hapus.

Kuala Lumpur, 22 September 2006

Kini, Aku Mau Teriak-teriakan

Aku mau bersikap kecuali
tak mau teriak-teriakan
cuma mendoa dalam ngilu
kala soldadumu menyita
kastil kuasa di tengah kota
kerana suara demokrasi itu
bukan dengan derap kasut soldadu
tapi bisik rakyat yang mengaum.

Tapi bila Paman Sam
teriak-teriakan membantahmu
aku tak mau duduk diam
kerana cokmar mereka
sama ada kita dengannya
atau kita melawannya.

Masakan aku bisa sepunggung
dengan Paman Sam itu
kerana dia selalu kentut
besar dan kuat, terlalu busuk
tapi bermuka tebal di negara orang.

Aku mau teriak-teriakan
supaya nanti jangan Paman Sam itu
datang membawa kentut
ke rantau kita ini.

Kuala Lumpur, 21 September

Pedih dan Ngilu Adalah Kau, Jeneral Sondhi

Ada pedih yang mengalir
dalam urat nadimu, Jeneral Sondhi
seperti ngilu yang berdenyut
di sepanjang sejarah umatmu
yang sering luka ditikam
duri fitnah dan khianat
dan darah itu terpercik
di kaki seluar hijaumu.

Kala kau kepung rumah kuasa
percik darah itu masih beku
dan pedih tak pernah padam
dalam urat nadimu, Jeneral Sondhi
moga-moga kau sempat
merasa-rasakan parut
di tubuh umatmu
supaya ia tak terbuka kembali
ketika manusia senang terkeliru.

Ya, kau harus setia pada Raja
tapi luka umatmu harus kau ubati
kerana kau, Jeneral Sondhi
yang merasakan pedih itu,
masih sama dengan ngilu umatmu.

Jeneral Sondhi, pedih dan ngilu itu
adalah kau dan umatmu, masih.

Kuala Lumpur, 20 September

Kau Hanya Hilang Kunci

Kau hanya hilang kunci
pintu kamar kuasamu
dan dayamu lucut
berwenang-wenang
di ranjang pembesar.

Pintu kamar kuasamu
disita palang soldadu
kawat-kawat duri
direntang pada tingkap
hingga tak mungkin
kau menyusup kembali.

Kau hanya hilang kunci
pintu kamar kuasamu
saudara kami hilang harga diri
dihenyak soldadu tanpa hati.

Tanpa kunci dan harga diri
masakan mereka aman di rumah sendiri?

Kuala Lumpur, 20 September

Latar puisi: Tentera Thailand melancarkan rampasan kuasa ke atas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, semalam.

Bunuhlah Pemuda Kami!

Hei binatang jalang
yang memikul peti-peti kitab
dan mengheret pendati dongeng
berkhutbah tentang pembunuhan,
Pemuda Palestin harus dibunuh
andai mereka berjaya melepasi usia 13
,”
dan binatang jalang itu pun merobek
kitab bernama sejarah nabi-nabi.

Binatang jalang itu nyanyuk
betapa seorang nabi
menjadi kesayangan istana Firaun
meski seluruh bayi para hamba
disembelih serigala Firaun
dan kelak nabi itu
menghela seluruh balatentera Firaun
untuk ditimbus di dasar laut.

Hei binatang jalang
bunuhlah semua pemuda
dan kelak bangsamu
akan disembelih pemudi kami!

Kuala Lumpur, 15 September

Rahib pelampau Yahudi, Yousef Falay menggesa tentera pengganas regim Zionis membunuh semua pemuda Palestin berusia 13 tahun ke atas untuk melenyapkan bangsa Palestin di muka bumi.