Protes II

Sepucuk protes
tersangkut
sempadan rupanya
terbatas.

Pesan pada Haniyeh
juga saudaranya, Abbas
minta petik protes itu
di peti pos pinggir sempadan.

Baca aksara wehdah
kami susun lewat frasa ukhwah
dengan tinta tawaduk
kami harap tak terpadam
oleh corak-coret khianat.

Moga-moga sepucuk protes itu
tak dikoyak si posmen
berkiblat pada
synagogue
berwali pada Zionis.

Kuala Lumpur, 31 Januari

Roti Tragedi

Mengunyah roti tragedi
di pinggir kota suci
maka bersaksikanlah
cebis-cebis derita di premis itu
belum apa-apa.

Kuala Lumpur, 30 Januari

Beirut 2007

Sepucuk protes
tersangkut
kerana posmen
ikut mengamuk.

Kami kirim merpati
segulung nota di kaki
di langit Beirut
ia dibedil batu.

Nota gugur di jalanan
diinjak kasut demonstran
huruf-huruf damai
bertabur relai.

Tak dibacanya Beirut
akan suara umat.

Kuala Lumpur, 25 Januari

Beirut

Beirut lumpuh
kota dirempuh
manusia gaduh.

Sepucuk protes
tersangkut
posmen ikut
mengamuk.

Kuala Lumpur, 24 Januari

Kota Kosong Negev

Kota kosong Negev
dengan pasak takbur
dengan bumbung kufur
rongganya tipu daya
debu-debu khianat
terserak-serak
tak ada manusia
atau haiwan tanpa akal.

Kota kosong Negev
hanya pura-pura
di atas sahara fasiq
kontang tak tertumbuh iman
kering tak tertadah hidayah
titis-titis kebenaran
telah lenyap dari langitnya.

Kota kosong Negev
hanya untuk
binatang
yang tak diterima
oleh kaum haiwan.

Kota kosong Negev
hanya untuk
setan
yang merampas
kulit dan bulu binatang.

Kuala Lumpur, 24 Januari

Latar puisi: Kota kosong Negev hanya bandar simulasi untuk latihan tentera pengganas Israel di pangkalan tentera Tzeelim di padang pasir Negev, Israel. Latihan itu membabitkan simulasi serangan 600 tentera dengan menggunakan helikopter, kereta kebal dan roket di bandar olok-olok seluas 20 kilometer persegi dengan binaan 500 bangunan. Latihan itu sebagai persediaan regim Israel untuk melancarkan perang baru terhadap Lubnan, sekali gus membalas dendam atas kekalahan mereka untuk menumpaskan Hizbullah dalam perang 34 hari musim panas tahun lalu.

Suara Alam Rasa Alam

Langit kelabu Disember
membalut bumi selatan
hujan tumpah
bumi bersimbah
manusia jadi karam
gedung adalah koral
di tengah samudera bencana.

Kelabu jadi hitam
Disember ke Januari
hujan terhambur
bumi jadi cawan
yang retak seribu
yang karam kelebu.

Banglo adalah bahtera
pondok adalah perahu
yang karam di daratan
manusia jadi lemas
di bumi yang mereka pijak.

Kuala Lumpur, Disember 2006-Januari 2007